Kadang-kala menjadi dilema bagi mereka yang baru pertama kali berpuasa terutamanya ketika waktu berbuka puasa. Jikalau makan di luar, maka apakah yang saya harus dahulukan apabila azan sudah berkumandang? Tinggalkan makanan kita dan solat dulu atau makan dulu baru solat?
Kalau tinggal makanan dan pergi solat dulu, perut pula berkeroncong dan solat dan khusyuk? Kalau teruskan makan, orang kata saya tak solat pula.. Aduh... Macam mana ni.... Senang aje.. Mari kita lihat apa kata Nabi Muhammad s.a.w dan cara baginda berbuka....
“Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah makan sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah semasa makan malam kamu.”
(Sahih al-Bukhari & Muslim)
“Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai.”
(Sahih al-Bukhari & Muslim)
Riwayat di atas juga menambah bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, walaupun beliau mendengar bacaan imam. Kata al-Imam an-Nawawi (meninggal 676H) dalam Sharh Sahih Muslim mengulas hadis-hadis berkaitan:
“Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk”.
(An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut)
Dalam Faidh al-Qadir l-Imam al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut bahawa arahan ini merangkumi semua solat dengan katanya:
“Hadis tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.”
(al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir)
Kata at-Tibi (meninggal 743H):
“Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bidaah yang berpendapat wajib melewatkannya.”
(at-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut)
BAGAIMANA CARA NABI MUHAMMAD S.A.W BERBUKA PUASA...???
"Manusia akan tetap berada dalam kebaikan selama mereka masih menyegerakan berbuka & mengakhirkan (melewatkan) sahur."
[Sahih al-Bukhari (1957)]
“Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.”
(Riwayat Imam Ahamd dan Tirmizi, katanya hadis ini hasan)
Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H):
“Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada, maka dengan tamar, dan sekiranya tiada, maka dengan air. Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah, namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air.”
(al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut)
Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H):
“Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”
(Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, 2/385, cetakan: dar al-Fikr, Beirut)
Berbukalah dengan kadar yang sederhana dan bukan berpesta makanan ya sebagaimana firman Allah SWT;
"...dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas."
(Al-A'raaf 7:31)
Kalau nak solat dulu, salah ke...??? Saya takdelah cakap salah.. Boleh aje... Cuma sebab dahulukan makan tu pun sebab kita boleh khusyuk ketika solat... Takpe-takpe, siapa nak makan dulu, silakan makan dan siapa nak solat dulu pun silakan... Secara peribadi, saya berbuka dengan beberapa biji buah kurma dan air selepas itu saya solat Maghrib dahulu. Sekurang-kurangnya perut dah terisi boleh juga solat dengan khusyuk dan bila dah solat Maghrib, hati pun tenang dan boleh sambung makan dengan senang dan khusyuk....
"Ahhhhh....Erkkkkkk...Alhamdulilah..."
Sahabat dulu makan malam untuk berbuka, bukan macam kita. makan sebiji tamar, segelas air, dah cukup. itu dikira makan malam...
ReplyDeletetp kita, (majoriti masyarakat melayu) berbuka puasa dengan makanan yang berlebihan. sehinggakan kalau sahabat dulu, lepas makan boleh solat dengan khusyu'.. tapi kita, lepas makan, pasti solat tidak khusyu' kerana kekenyangan (makan ikutkan nafsu)