Life of a Reverted Muslim

"O believers enter into Islam completely and do not follow the footsteps of Shaitan, surely he is your clear-cut enemy. If you falter after receiving the clear-cut message, then keep in mind that Allah is Mighty, Wise. Are they waiting for Allah to come down to them in the shadow of clouds, along with the angels, and make His decision known? Ultimately all matters will be presented to Allah for decision"
(Surah Al-Baqara, Ayah 208-210)


Thursday, May 9, 2013

Apa Lagi Orang Cina (Ini) Mahu? Terima Kasih Utusan & Kosmo...!!!


Saya lahir di dalam keluarga Cina. Saya telah kembali kepada Islam pada 2005 namun saya masih Cina walaupun ada orang bagitau saya bahawa memeluk Islam bermakna masuk Melayu tetapi mata sepet inilah identiti Cina saya. Saya tidak diminta lahir sebagai Cina sebagaimana anda tidak diminta dilahirkan sebagai seorang Melayu, India, Kadazan, Iban & sebagainya. Yang paling penting, saya adalah Muslim & InshaAllah akan mati sebagai seorang Muslim. Jikalau ada batu nisan di kuburan saya kelak (tetapi saya tidak mahu sebarang binaan atau tulisan di kubur saya), pasti yang ditulis adalah saya Islam dan tidak akan ditulis saya ini Cina.


Saya cumalah seorang muallaf yang ingin menyampaikan mesej Islam mengikut kemampuan saya walaupun tidak pernah mengaji di Madina, Jordan, Al-Azhar mahupun sekolah pondok. Tulisan ini adalah jawapan peribadi saya (saya tidak boleh mewakili mereka memandangkan mereka tidak pernah memilih saya untuk menyokong mereka) kepada soalan yang dijadikan tajuk di dalam suratkhabar Utusan pada 7hb Mei 2013 : Apa Lagi Cina Mahu?


Saya mulakan dengan penyokong PR. Adalah sesuatu yang memalukan serta mendukacitakan anda sanggup meminta dari Barack Obama & Amerika untuk membantu. Sedarkah anda bahawa Obama & Amerikalah yang telah menghancurkan kehidupan rakyat beberapa negara dan anda meminta mereka untuk campur tangan dalam hal ehwal negara? Masalah negara kita, kita selesaikan antara kita dan walaupun anda menuduh bermacam-macam namun apakah anda mahu melihat Malaysia huru-hara seperti negara lain akibat tidak berpuas hati dengan keputusan PRU-14 ini?


Saya menyokong PR (walaupun saya tidak mengundi kerana tugasan di luar negara) dalam PRU lepas tetapi saya menerima BN sebagai pemerintah & kerajaan walaupun ada yang berkata terdapat penipuan tetapi saya mengutamakan kedaulatan negara dari dicemari. Jikalau BN dapat berubah, tidak mustahil rakyat akan menyokong kembali mereka. Sebagai seorang Muslim, saya juga beriman kepada Qada & Qadr Allah kerana Allah SWT berfirman;


A026


“Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

(A-li'Imraan 3:26)

Jikalau mereka memang menipu dengan memberikan IC kepada warga asing, tanpa izin Allah SWT, mereka tetap tidak akan menang juga. Bukalah kitab sirah Nabi SAW ketika perang Badr, jumlah tentera Islam hanyalah lebih kurang 313 tetapi tentera musyrikin 10 kali ganda lebih namun dengan izin dan kekuasaan Allah SWT, akhirnya kemenangan berpihak kepada tentera Islam jua. Wahai saudara seIslam, ingatlah bahawa Allah SWT memberikan kekuasaan kepada siapa yang Dia kehendaki dan hidup ini adalah ujian bagi setiap manusia.




Bukan semua penyokong PR tetapi sebahagian. Meminta bantuan Obama bukan jalan penyelesaian yang bijak. Pemimpin mencerminkan rakyat & anda ada masa 5 tahun untuk 'berkempen' sebelum PRU-14. Dalam keghairahan anda menghalang pengundi hantu yang diperkatakan, anda juga telah menafikan hak pengundi yang benar-benar sah tetapi kenaa anda berdiam diri dalam isu ini dan menjustifikasikan tindakan mereka? Sebagai pemimpin, pucuk pimpinan PR patut bersikap adil dan bukannya menutup sebelah mata tetapi pada masa yang sama menuduh BN melakukan itu & ini. Apa pula bezanya anda dengan mereka?


Kedua ditujukan kepada BN, jangan berkata DAP mahupun Cina menolak Melayu dan racist. Kenapa bila dulu MCA menang banyak tak dikatakan mereka racist dan adakah pernah MCA menyenaraikan calon Melayu untuk PRU dalam sejarah mereka? MCA juga ditolak ramai Cina sedangkan MCA adalah parti Cina? Dari 15 kerusi parlimen pada PRU 12, kini mereka hanya ada 7 kerusi sahaja. MCA juga ditolak oleh orang Cina, Melayu & India. Bila Gerakan dengan ramai ADUN & MP Cina sebelum PRU 12 kenapa pula tidak dikatakan racist dan ada agenda? Adakah kerana mereka parti gabungan BN maka anda berdiam diri? Apakah menolak UMNO bermakna menolak Melayu? Bagaimana pula dengan Melayu di dalam PAS, PKR & DAP?

Cina tidak menolak Melayu kerana jikalau anda rajin mengkaji, kenapa Rafizi seorang Melayu boleh menang di Pandan sedangkan beliau menentang dua Cina? Khalid Ibrahim di Bandar Tun Razak? Zairil Khir Johari? Ibrahim Ali & Zulkifili Noordin kalah di kawasan yang banyak pengundi Melayu. Ali Rustam pula kalah kepada seorang Melayu dan bukannya Cina kenapa pula Cina yang disalahkan? Orang Cina hanya kurang dari 20% dari penduduk Malaysia jadi kenapa Cina yang selalu dikambing hitamkan? Jangan salahkan Cina mahupun Melayu ataupun India jikalau sokongan berkurangan tetapi tanya diri kenapa rakyat Malaysia menolak gagasan anda. Yang jelas sebenarnya rakyat jelata baik Melayu, India, Cina, Jawa, Bangla mahupun Iban menolak politik perkauman yang menjadi senjata setiap PRU terdahulu. Rakyat makin matang berfikir dan menilai. Utusan & Kosmo, di manakah anda apabila MCA mempersendakan hudud?



"Di manakah kamu wahai Utusan & Kosmo ketika iklan ini disiarkan?"

Tidakkah anda malu apabila seorang Cina yang Belum Islam mempertahankan hudud tetapi anda pula membiarkan MCA mempersendakannya?




Usah meniupkan api perkauman baik dari PR mahupun BN. Usah juga kongsikan gambar atau dokumen yang anda sendiri tidak pasti kesahihannya lalu dikatakan inilah agenda mereka. Sediakah kita menjawab di depan Allah jikalau ianya adalah palsu akibat teruja sangat untuk berkongsi info yang kita sendiri tidak pasti? Sedihnya ramai Muslim terjebak dalam isu sebegini dan mengapakah ini terjadi sedangkan isu perkauman adalah mainan jahiliyyah dan apakah kita masih terperangkap dengan bisikan syaitan? Lupakah anda sebagai Muslim firman Allah SWT ini;


A018

:Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)."
(Qaaf 50:18)

Yang telah menang, tunaikan janji anda. Penyokong calon dan parti yang menang, ingatkan mereka akan janji yang ditabur. Firman Allah SWT;


A002

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!"

A003
"Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."



Yang kalah, fikirkan di mana silapnya dan teruskan berkhidmat dan bukannya muncul apabila tiba musim PRU. 


Sekarang, jawapan kepada; Apa Lagi Cina (ini) Mahu? Saya mahu;


- Rakan saya berbangsa Melayu yang lain juga mendapat hak keistimewaan yang diperkatakan dan bukannya sesetengah Melayu sahaja.

- Bantu juga mana-mana pihak yang susah walaupun berlainan bangsa.
- Buktikan slogan 1Malaysia bukanlah manis di mulut sahaja.
- Hapuskan rasuah yang berleluasa di dalam pentadbiran negara sebagaimana yang dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara saban tahun.
- Usah mengungkit meminta kami mengenang jasa kerana anda yang menawarkan diri untuk berkhidmat dan anda membangunkan negara dengan duit cukai rakyat dan bukannya dari poket anda sendiri. YB anda sepatutnya bermaksud Yang Berkhidmat & bukannya Yang Berhormat. Ini untuk PR & juga BN.


"Islam menyatukan kami. Di dalam gambar ini, kami adalah Melayu, Cina, Chindian, kacukan Cina Melayu, kacukan Chindian Melayu, kacukan Cina Turki."


"Di dalam gambar ini ada Melayu Muslim, India Muslim & Cina Muslim. Islam menyatukan manusia tetapi bagaimana pula kita sebagai Muslim bersikap jahilliyah?"


"Dapatkah anda mengenal pasti yang mana Cina, Afrika, Melayu, India & Arab ketika mereka bertawaf di sekeliling Kaabah? Islam menolak racism"

Pada masa yang sama, saya ingin berterima kasih kepada Utusan & juga Kosmo kerana tulisan anda telah berjaya menyatupadukan rakyat berbilang bangsa tanpa mengira agama. Dengan tulisan anda itu, makin ramai rakyat Malaysia memberanikan diri keluar untuk melahirkan rasa cinta mereka kepada rakan mereka yang berbangsa lain malahan, calon Bn yang tewas juga melakukan perkara yang sama dan inilah ciri pemimpin yang rakyat mahukan.



Seperkara lagi adalah PRU-13 ini telah berjaya menghapuskan ketakutan kepada Islam atau Islamophobia di mana masyarakat Belum Muslim tidak takut akan Islam. Teknik menakut-nakutkan pengundi Belum Islam telah menjadikan mereka makin ingin tahu aakah itu hudud dan juga Islam. Mungkin mereka dekat dengan Muslim atas dasar perjuangan politik tetapi sekurang-kurangnya mereka makin selesa dengan Muslim.


Dari kita bercakap mengenai perkauman dan bangsa, mari kita mengembleng tenaga mendakwahi mereka agar mereka menjadi saudara seakidah dengan kita walaupun berlainan bangsa. Allah SWT tidak akan bertanya apakah bangsa dan kaum kita tetapi InshaAllah kita akan ditanya apakah yang telah kita lakukan dengan Nur Islam yang Allah telah kurniakan kepada kita dan pastikan kita ada jawapan di akhirat kelak.

Ambillah kesempatan yang Allah SWT telah berikan ini untuk menyampaikan dakwah kepada mereka yang Belum Muslim.

A001

"Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah),"


A002
"Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai,"

A003
"Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat."
(An-Nasr 110:3)


Wahai Editor Utusan & Kosmo serta para ahli politik yang dirahmati oleh Allah SWT, bayangkan jikalau dakwah Baginda SAW dulu bermula dengan bangsa, nescaya bangsa Melayu tidak akan Islam ke hari ini dan tidak Islamlah saya dan banyak lagi saudara seIslam saya yang lain. Saya akhiri dengan cerita mengenai Abu Dzar Al-Ghiffari & juga Bilal Ibn Rabah r.a sebagai renungan untuk kita semua.


“Injak kepalaku ini hai Bilal!”

“Demi Allah ku mohon injaklah!”

Abu Dzar Al-Ghiffari meletakkan kepalanya di tanah berdebu.

Dilumurkannya pasir ke wajahnya dan dia menunggu penuh mengharap terompah Bilal segera mendarat di pipinya.

“Ku mohon Bilal saudaraku,” rintihnya. “Injaklah wajahku. Demi Allah aku berharap dengannya Allah mengampuni dan menghapus sifat jahiliyah dalam jiwaku.”


Abu Dzar ingin sekali menangis. Dia menyesal. Dia sedih. Dia takut. Dia marah pada dirinya. Dia begitu lemah berhadapan dengan hawa nafsunya. Maka dengan kepala berselaput debu dia mengerang, “Ku mohon injaklah kepalaku!”


Sayang, Bilal terus menggeleng dengan mata berkaca-kaca.


Beginilah Abu Dzar al-Ghifari begitu mendalam penyesalannya apabila di tegur Rasulullah SAW kerana memanggil Bilal dengan panggilan "budak hitam". Ya,Abu Dzar secara tidak sedar dan tidak sengaja telah bersikap Racist."Sungguh,kau masih bersifat Jahiliyah",tegur hikmah Ar-Rasul tapi penuh tegas terhadap Abu Dzar.

[Sumber : FB Mohd Shahrul


SAKSIKANLAH VIDEO INI TENTANG KONSEP 1 MALAYSIA YANG SEBENAR. RATUSAN RIBU MENYANYIKAN LAGU NEGARAKU. YUSUF BERDIRI DI TEPI SHI JUN YANG BERDIRI DI TEPI ROMEL YANG BERDIRI DI TEPI JASBEER SINGH DAN RAMAI LAGI...!!!


InshaAllah, jikalau tiada aral melintang saya akan membincangkan topik perpaduan pada Jumaat ini, 11hb Mei 2013 di dalam rancangan Assalamualaikum di TV Al-Hijrah...

11 comments:

  1. "akibat tidak berpuas hati dengan keputusan PRU-14 ini? " typo error kot ni. PRU-13

    ReplyDelete
  2. ya allah berikanlah kami pemimpin yang benar yang jujur dan yang adil dalam memerintah bumi malaysia ini..inilah doa yang selalu saya baca selepas solat.taktahu belah mana benar belah mana salah.disana kata akulah yang sebenarnya tegak islam yang sini pun mengaku akulah yang tegakan islam,orang yang macam saya ni hanya dapat berdoa muntuk kesejahteraan bangsa malaysia . tak mau gadoh gadoh.benar kata penulis diatas ,kalau kita seorang muslim sejati kita dapat menerima qoda qadar dan ketentuan allah. jangan lah dok tak puas hati . buat bantahan sana sini.saya hanya orang kerdil. mintalah pada semua rakyat malaysia , melayu cina india dan lain bangsa bersatu demi negara tercinta .kalau nak ambil alih tampok pemerintahan pun gunalah saluran yang benar, supaya kita dihormati dan malaysia dipandang mulia di persada dunia.kepada DSAI kalau anda berniat baik pada negara dan agama anda in nya allah, allah akan bersama anda .takperlulah melawan takdir yang telah ditentukanoleh alah taaala.sepekara lagi ingatlah.. jatuh nya sesebuah negara islam itu kerana rakusnya akan sikap seorang pemimpin. bangunya sesebuah negara islam itu kerana jujur adil dan amanah nya sesaorang pemimpin itu kepada tanggongjawapnya.sepanjang kita semua dibawahkerajaan sekarang pun,aman damai bumi malaysia, rakyat bebas nak buat apa (bukan maksiat ye)tolonglah umat islam bersatulah demi islam. tolonglah rakyat malaysia , bersatulah demi negara malaysia tercinta.kita semua rakyat malysia, melayu, cina india dan lain lain adalah rakyat yang cintakan keamanan dan kesejahteraan.saya minta maaf jika apa yang saya nyatakan disini tidak disenangi oleh anda semua. asaalamualaikum dan salam sejahtera untuk semua.

    ReplyDelete
  3. saya seorang Melayu Muslim Msia tidak pernah bersikap racist dengan bangsa lain di Msia..:)

    ReplyDelete
  4. terima kasih atas pebcerahan ni bro firdaus

    ReplyDelete
  5. السلام عليكم elok bagi kita semua rujuk kpd alquraan n hadees . baca a dengar a belajarlah kedua2 nya dgn lebih teliti terutama tentang keadaan umat ini d akhir zaman . terlalu banyak perkara yg kita telah tinggalkan dari alquraan n hadees. 1 contoh ....bila nabi s.a.w. menyuruh kita membaca surah al kahfi agar kita memahami dajjal dan ujian yg datang bersamanya .....berapa ramai yg ambil peduli? dan bersungguh2 utk memahami ayat2 dan menghafalnya? berapa ramai yg ambil berat tentang riba? berapa ramai yg peduli tentang dosa dan pahala dan yg mahu belajar mengenalinya?....termasuk diri saya sendiri .....semoga Allah s.w.t mengampuni n memberi hidayah kpd kita semua ...hingga aqhirat

    ReplyDelete
  6. Alhamdulillah. Semoga Allah memberkati usaha anda di dalam dakwah .

    ReplyDelete
  7. Dear brother, Tuan memanglah seorang yang baik tapi tidak dapat dinafikan bangsa Cina (non Muslim) yang ada di Malaysia ini kebanyakanya memang rasis dan sombong dan mempunyai agenda yang tidak baik terhadap melayu dan seterusnya islam. Untuk pengetahuan anda, dulu kita cuba buat sekolah wawasan dimana sekolah kebangsaan, sekolah cina dan sekolah tamil berkongsi satu kawasan dan infratruktur. Ini semua untuk mengeratkan perpaduan tapi siapa yang tolak ... bangsa Cina yang menolak (sebab Cina sombong dan beranggapan dirinya pandai) Itulah realitinya. Cina kata mereka tertindas dan tidak mempunyai hak istimewa. Secara amnya di Malaysia, ekonomi dikuasai oleh orang Cina. Jadi mana betulnya tuntutan tersebut. Itu hanya imaginasi mereka. Dan secara logiknya, mestilah ada orang Cina yang miskin dan susah, itu betul. Jadi kenapa pemimpin anda tak bagitahu kepada pihak yang memerintah. Sebenarnya, memang orang melayu adalah pilihan yang terbaik untuk mentadbir kerajaan sebab mereka beragama islam. Asas sebab itu, semua perkara boleh dibincangkan dengan orang2 melayu sebab asas islam dalam diri mereka itu memang sudah ada walaupun tak semestinya kuat iaitu mestilah tolong orang yang susah tanpa mengira bangsa dan agama. Orang islam tidak akan bertindak keterlaluan kepada orang lain walaupun dia mungkin bukan seorang islam yang baik (kerana orang islam memang mempunyai empati dan sikap tolak ansur yang baik). Benda yang sama tidak semestinya ada pada non -moslem sorry to say ..

    ReplyDelete
  8. Untuk makluman, sebelum PRU-13 keputusan diumumkan. Saya memang tak marah dengan orang Cina. Saya biasa-biasa sahaja, beli barang di kedai Cina dan cerita2 dengan kawan-kawan Cina. Kalau ada kontraktor Cina datang ofis minta tolong, kitapun akan tolong juga asalkan tidak melanggar peraturan. Jadi bila jadi macam ni ..memang saya rasa macam dikhianati dan saya rasa bukan saya seorang saja yang rasa macam itu. Tapi unfortunately saya masih lagi kena beli barang-barang di kedai cina sebab memang kedai-kedai semua hampir 90 % kedai cina. Jadi mana benarnya tuntutan orang Cina yang mereka tertindas ????

    ReplyDelete
  9. Saya juga setuju dengan komen di atas, saya juga rasa dikhianati selepas keputusan pilihanraya. lebih2 lagi saya sanggup mngundi MCA di tempat saya demi perpaduan walaupun saya tahu parti ini adalah parti cina.Jadi saya memang bersetuju dengan kenyataan utusan. Saudara, harapnya saudara lebih terbuka walaupun saudara lebih memihak kepada pihak pembangkang.....jadi saudara juga harus juga fikir bagaimana perasaan/pendapat sesetengah rakyat yang memilih utk menyokong dasar kerajaan? dengan keputusan yang sangat jelas kaum cina menyokong pembangkng (samada DAP/PKR, PAS terlalu sedikit), merosotnya undi pada MCA. Sebagai penyokong kerajaan, kita akan nampak betapa banyak usaha dan duit dilaburkan kepada cina seperti dong zhong kerana tahu kaum cina amat mementingkan pendidikan. tetapi bilamana keputusan yang jelas kaum cina memihak kepada pembangkang, kami kaum melayu/ utusan yg mewakili kaum melayu melihat perkara ini seolah2 kaum cina tidak menyambut baik tangan yang kami hulurkan utk perpaduan. seolah2 kaum cina tidak mahu lagi orang melayu menjadi pemerintah di negara ini, kaum cina lebih mahu menyokong parti yang ingin mendokong usaha utk kristianisasi, liberal dan perkauman. di dokong pula oleh tindakan ahli2 politik pembangkang tertutama cina yang bertindak utk menyokong kristian, dan politik perkauman, mempertikaikan kedudukan dan hak keistimewaan melayu dan agama islam. Seperti yang saudara nampak, secara jelasnya kaum cina lebih memonopoli ekonomi di negara ini, walaupun ada ketuanan melayu dan Hak keistimewaan melayu semua itu bagai tiada bezanya. Sepatutnya tajuk utusan tidak perlu dilabel perkauman kerana memang kami ingin tahu tentang apa lagi cina mahu setelah budi dihulurkan, pelik juga tidak di balas budi baik utk menyambut perpaduan. Apalagi yang cina mahukan...setelah ekonomi diberi peluang, boleh jadi kaya raya...boleh nikmati hak sebagai warganegara....beri sumbangan duit utk pendidikan walhal sekolah vernakular langsung tak ada kebaikan utk perpaduan....itu yang saya faham tentang tajuk utusan ini....harap saudara terbuka utk pendapat ini

    ReplyDelete
  10. Tidak akan habis isu rasis rasis rasis....Saudara, inilah pentingnya supaya sekolah vernakular di hapuskan....sy harap saudara sebagai kaum cina dapat menyeru bangsa saudara utk sama membentuk 1 sekolah supaya anak2 kita lebih saling kenal dan bergaul...hapuskan stigma terhadap kaum2 lain.....

    ReplyDelete
  11. Assalamualaikum....saya orang Sabah...Di Sabah ada bermacam-macam agama dan kami hidup dengan aman damai.Saling memahami walau pun berbeza agama. Non Muslim di Sabah kalau buat majilis perkhawinan mereka akan jemput orang Islam untuk memasak dan menyediakan semua keperluan seperti periuk belanga...Bro Firdaus datanglah berdakwah di Sabah.Walaupun Kristian di sabah seolah-olah kuat tetapi mereka sebenarnya sangat terbuka.Sudah ramai orang kristian yang telah masuk muslim disini. Di sini ada seorang pendakwah yang sangat giat berdakwah di kawasan pedalaman.Ustaz Fadli Yusof...sudah hampir 300 orang yang telah masuk islam dalam masa 2 tahun dia berdakwah...

    ReplyDelete

Thanks for visiting my blog and take some time off to read and May it benefit everyone. Everything that is good come from Allah and for every shortcoming come from me. I appreciate all your criticism, suggestion and comment. No permission needed to share as all belong to Allah. Jazakallahu Khaira (May Allah Reward You with Good) for your time and comment....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...