Life of a Reverted Muslim

"O believers enter into Islam completely and do not follow the footsteps of Shaitan, surely he is your clear-cut enemy. If you falter after receiving the clear-cut message, then keep in mind that Allah is Mighty, Wise. Are they waiting for Allah to come down to them in the shadow of clouds, along with the angels, and make His decision known? Ultimately all matters will be presented to Allah for decision"
(Surah Al-Baqara, Ayah 208-210)


Sunday, February 3, 2013

TIPS Menyambut Tahun Baru Cina : Muallaf & Muslim


Dalam ruangan ini, saya tidak akan mengupas lebih lanjut tentang isu bolehkah seseorang Muslim menyambut Tahun Baru Cina kerana saya telahpun menulisnya sebelum ini. Bagi yang belum membacanya, sila baca di SINI. Apa yang saya ingin kongsikan pada kali ini adalah tips menyambut Tahun Baru Cina dan artikel ini saya fokuskan kepada tiga golongan ini iaitu;

1)      Muallaf yang diketahui keIslamannya (AM)
2)      Muallaf yang merahsiakan pengIslaman (UM)
3)      Muslim secara umum (MU)

Saya meletakkan kod AM, UM & MU bagi memudahkan pemahaman dan golongan yang dituju bagi setiap perenggan. Mungkin ada yang bertanya, mengapa muallaf dibahagikan kepada dua kumpulan dan tidak disekalikan? Saya sengaja membahagikan muallaf kepada dua kumpulan kerana walaupun mereka adalah Muslim namun identiti mereka berbeza di hadapan keluarga dan rakan-rakan. Baik, mari kita terus kepada topic perbincangan dan kita mulakan dengan malam Pra-Tahun Baru Cina.

 
REUNION DINNER


AM – Biasanya menu dan lokasi untuk reunion dinner ini telah dikenalpasti beberapa minggu sebelum malam pra Tahun Baru Cina. Untuk reunion dinner, jikalau anda telah bekerja maka bolehlah dicadangkan untuk makan di restoran Cina yang halal atau jikalau anda telah berumah tangga, maka jemputlah ahli keluarga untuk makan di rumah. Namun jikalau ahli keluarga anda yang belum Islam mengadakan reunion dinner ini dan mereka menyediakan makanan yang halal, maka bolehlah berbuat demikian. Tidak perlu risau dengan pinggan mangkuk mahupun peralatan yang pernah mereka gunakan untuk memasak daging khinzir. Tidak perlu disertu/disamak. Setelah dicuci dengan pencuci biasa dan diyakini bersih, maka ianya boleh digunakan.

 Daripada Abi Tsa’labah al-Khusyani (radhiallahu ‘anhu), beliau berkata:

“Aku bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Bahawasanya kami bertetangga dengan Ahli Kitab. Mereka biasa memasak daging khinzir di dalam bekas masak mereka (periuk/kuali/belanga) dan meminum khamar di dalam gelas mereka (lalu bolehkah kami menggunakan periuk dan gelas tersebut)?”

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab:

“Jika kamu dapat mencari bekas yang selain darinya maka makan dan minumlah dengannya. Tetapi jika kamu tidak dapat mencari bekas yang lain, maka cucilah ia dengan air kemudian makan dan minumlah (dengannya).” 
(Sunan Abu Daud, no. 3839. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Imam an-Nawawi dalam Syarah Shahih Muslim menyentuh hadis ini dengan katanya, 

“Dilarang menggunakan bekas mereka sebelum disucikan, sehingga apabila telah disucikan bekas tersebut, maka tidak dilarang untuk menggunakannya. Kerana ia telah suci dan tidak terdapat di dalamnya sesuatu yang mengotorinya.” 
(Syarah Shahih Muslim, 13/80)

UM – Buat anda yang masih merahsiakan pengIslaman anda, reunion dinner adalah sesuatu yang sukar dielak dan ketidakhadiran ketika reunion dinner adalah sesuatu yang sukar diterima oleh keluarga. Maka apa yang anda boleh lakukan adalah turut serta di dalam reunion dinner tetapi elaklah mengambil makanan yang mempunyai daging khinizir. Ketika reunion dinner, biasanya masyarakat Cina akan menghidangkan ikan, udang, ayam, khinzir dan sayuran maka elakkan pengambilan daging khinzir sebaik mungkin.

MU – Masyarakat Muslim yang bukan Cina biasanya tidak terlibat dalam reunion dinner. Jikalau ada jemputan, maka pergilah bersama selagi ianya halal. Jikalau pasangan anda (isteri ataupun suami) adalah berketurunan Cina, maka pergilah bersama mereka dan tunjukkan akhlak yang baik ketika reunion dinner.


MENYAMBUT CAI SEN (DEWA KEKAYAAN)

Menjelang tengah malam, mereka akan memulakan penyembahan bagi menjemput dan menyambut kedatangan CAI SEN ke rumah mereka. Hampir setiap bangsa Cina akan melakukan ritual ini dan tidak semua ahli keluarga akan terlibat. Umat Islam tidak boleh menyertai upacara penyembahan ini.


TAHUN BARU CINA



AM – Di pagi hari pertama Tahun Baru Cina, lawatlah ahli keluarga anda dan luangkan masa bersama mereka melawat saudara-mara yang lain. Jikalau telah berumah tangga, bawalah pasangan anda dan juga anak-anak untuk turut serta dengan anda. Jikalau keluarga pasangan yang bukan Cina berdekatan, maka jemputlah keluarga pasangan anda yang bukan Cina untuk datang beraya di rumah ahli keluarga anda yang masih belum Islam bagi menjalin perhubungan yang lebih erat. Ingat untuk

UM – Tidak banyak perbezaan dengan di atas cuma jikalau ahli keluarga melakukan penyembahan dengan membakar colok pada hari pertama, maka elaklah sebaik mungkin dari melakukan sebarang upacara penyembahan. Carilah alasan untuk mengelak tetapi bukanlah dengan menipu. Contohnya, apabila tiba masa untuk sembahyang maka berilah alasan untuk ke bilik air dan sebagainya.

MU –Secara umumnya, masyarakat Cina akan berkunjung ke rumah ahli keluarga dan sanak saudara pada hari pertama & kedua Tahun Baru Cina. Apabila kita berkunjung ke rumah masyarakat Cina, hubungi mereka dan lakukan temujanji dahulu jikalau mereka berada di rumah ketika waktu itu. Pastikan kita menepati janji dengan datang lebih awal.

Apabila kita berkunjung, sesuatu yang harus diambil perhatian adalah pemakaian kita. Pakailah pakaian yang berwarna merah, putih, biru mahupun kuning dan sebagainya kerana ini merupakan warna yang ceria dan kegemaran masyarakat Cina. Elakkan memakai pakaian yang berwarna gelap terutamanya hitam kerana hitam adalah warna kematian.

Tidaklah menjadi kewajipan bagi tetamu membawa buah tangan namun jikalau kita berkunjung ke rumah rakan kita yang berbangsa Cina, ada bagusnya jikalau kita membawa sedikit buah tangan seperti sekotak atau beberapa biji limau mandarin dalam nombor genap (8 biji & ke atas)beserta dengan paket makanan yang lain. Biasanya tuan rumah akan membalas dengan memberikan buah tangan untuk di bawa balik dan terima sahaja dan jangan sesekai menolak kerana tuan rumah akan merasa tersinggung.

Jikalau makan terjatuh, maka memadailah kita mengutipnya dan meletakkan di atas meja ataupun tong sampah yang disediakan. Tidak perlu mengambil penyapu dan menyapunya kerana secara umumnya, masyarakat Cina tidak akan menyapu rumah mereka pada 2 hari pertama kerana mereka dengan menyapu rumah, mereka telah menyapu keberkatan dan kekayaan bagi sepanjang tahun. Cukuplah kita mengutipnya dengan tangan sahaja.


HIDANGAN TAHUN BARU CINA




AM, UM, MU – Apabila tuan rumah menghidangkan makanan ringan ataupun kekacang kepada kita, ambil ikut kadar yang kita mampu makan dan jangan pegang balang makanan walaupun kita menyukainya. Andai kita was-was terhadap makanan yang ditawarkan contohnya makanan yang bersumberkan daging, maka tolaklah dengan baik ataupun dengan memberikan alasan bahawa anda telah kenyang. Namun jangan pula selepas kita mengatakan kita kenyang lalu kita mengambil makanan yang lain pula.

Kebiasaannya, masyarakat Cina akan menghidangkan banyak makanan ringan seperti kekacang dan keropok yang diperbuat dari tepung mahupun beras. Kebanyakan dibeli dari pengilang yang bersijil Halal. Jangan kita tanya kepada tuan rumah adakah makanan yang mereka tawarkan kepada kita adalah Halal kerana ini akan menyinggung perasaan mereka dan adalah lebih baik berhikmah dalam menolak.



MALAM KE-SEMBILAN

Bangsa Cina dari suku kaum Hokkien menganggap Malam Ke-Sembilan ini lebih utama dan penting berbanding dengan hari pertama Tahun Baru Cina. Malam itu mereka akan melakukan penyembahan Tien Gong (Tuhan Langit) beserta dengan tebu. Ianya bukan sesuatu yang wajib maka bagi UM adalah lebih mudah untuk mengelak berbanding dengan yang lain.
Tebu adalah elemen penting kerana ketika peperangan dahulu masyarakat Cina dari suku kaum Hokkien melarikan diri ke dalam ladang tebu dan mereka terselamat dan bertitik tolak dari situlah masyarakat Cina suku kaum Hokkien mula meraikannya.

Segala bentuk penyembahan ada mala mini adalah tidak dibolehkan bagi orang Islam dan biasanya mereka sambutan ini akan berlarutan sehingga 2-3 pagi dan mercun akan dibakar memecah keheningan malam.


CHAP GOH MEI


Chap Goh Mei adalah hari terakhir sambutan Tahun Baru Cina. Biasanya akan disambut serba sederhana bagi mereka yang telah berkeluarga tetapi ianya adalah hari yang sibuk bagi mereka yang masih bujang. Ini kerana pada hari ini mereka akan ke sungai bagi membuang limau mandarin yang telah tertulis nama mahupun no telefon mereka dengan harapan mencari pasangan hidup.

Tidak kurang juga ada yang akan menulis di atas kertas doa-doa mereka dan membalingnya ke atas pokok. Bagi umat Islam, tiada keperluan untuk berbuat demikian dan jikalau masih ada kesempatan, lawatlah rumah rakan-rakan yang lain.


PENUTUP

Inilah serba sedikit perkongsian yang diharapkan dapat membantu muallaf yang menghadapi dilema bagaimana untuk seimbangkan identiti diri sebagai Muslim yang berbangsa Cina serta kaedah terbaik berinteraksi dengan ahli keluarga yang masih belum Islam.

Diharapkan juga ini akan memudahkan umat Islam untuk menggunakan kesempatan Tahun Baru Cina untuk merapatkan ukhwah dengan saudara dan rakan berbangsa Cina yang belum Islam dan inilah juga permulaan dakwah kita dengan mereka. Mereka juga akan merasa terpanggil untuk memenuhi undangan kita apabila tibanya Aidilfitri mahupun Aidil Adha. Kepada muallaf yang masih mempunyai persoalan mahupun sedikit kekeliruan, boleh hubungi saya di askislam.my@gmail.com dan InshaAllah saya cuba menjawab mengikut kemampuan saya.

Akhir sekali, semoga Allah SWT memudahkan urusan kita dan memberikan kekuatan kepada kita bagi menyampaikan kalimah Islam kepada mereka yang belum Islam.  


1 comment:

Thanks for visiting my blog and take some time off to read and May it benefit everyone. Everything that is good come from Allah and for every shortcoming come from me. I appreciate all your criticism, suggestion and comment. No permission needed to share as all belong to Allah. Jazakallahu Khaira (May Allah Reward You with Good) for your time and comment....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...