Life of a Reverted Muslim

"O believers enter into Islam completely and do not follow the footsteps of Shaitan, surely he is your clear-cut enemy. If you falter after receiving the clear-cut message, then keep in mind that Allah is Mighty, Wise. Are they waiting for Allah to come down to them in the shadow of clouds, along with the angels, and make His decision known? Ultimately all matters will be presented to Allah for decision"
(Surah Al-Baqara, Ayah 208-210)


Tuesday, July 31, 2012

SAVE ROHINGYA NOW...!!!


Di saat semua umat Islam di seluruh dunia menyambut Ramadhan, saudara seIslam kita di Myanmar - Rohingya diburu dan dibunuh oleh mereka yang tidak beragama. Ya, ramai yang menyalahkan penganut Buddha tetapi percayalah bahawa penganut Buddha yang betul tidak akan membunuh kerana di dalam FIVE PRECEPT mereka, PRECEPT yang pertama adalah DILARANG MEMBUNUH.

Dianggarkan lebih kurang 2 Juta Rohingya berada di Myanmar dan berikut adalah statistik ringkas mengenai Rohingya dan juga konflik di Myanmar;

> 43 Kampung diserang
> 5,915 Rumah Dibakar
> 555 dibunuh walaupun jumlahnya berbeza-beza di antara 500 – 10,000. Tidak ada 
   cara untuk mengenal pasti statistic yang sebenar kerana Kerajaan Myanmar 
   menghalang sebarang berita datang dari wilayah Arakan.
> 300 cedera
> 34 Masjid musnah
> 4 Universiti musnah
> 24 Sekolah Musnah
> 300 Ditahan
> 35,400 Menjadi pelarian namun UNHCR meletakkan anggaran 90,000 pelarian.
> 500,000 kehilangan punca pendapatan akibat darurat. Mereka tidak dapat bekerja
   di ladang mereka.
> 20,000 hidup di tebing sungai dan juga di dalam hutan bagi mengelak ditangkap 
  dan dibunuh.

Oleh itu,

Wednesday, July 25, 2012

UPDATE...!!! Tak faham bahasa atau buat-buat tak faham..[MUST READ, S.O.S]


Lebih kurang 16-17 tahun dahulu, Bro Lim memeluk Islam dan telah memaklumkan kepada pegawai Jabatan Agama tersebut agar JANGAN HANTAR APA-APA SURAT KE RUMAHNYA kerana masih merahsiakan pengIslaman dari keluarganya. Tetapi, akhirnya pihak Jabatan Agama Islam Negeri tersebut telah menghantar surat kepadanya dan ini telah mengakibatkan Bro Lim ketika itu dalam keadaan serba salah.

TERBARU, seorang wanita memeluk Islam dan juga telah memaklumkan perkara yang sama agar jangan HANTAR SEBARANG SURAT KE RUMAHNYA tetapi, Jabatan Agama Islam tetap menghantar kepadanya. Kini Muallaf itu dalam keadaan tertekan dan serba salah kerana keluarganya MENGHALAUNYA KELUAR DARI RUMAH BERSAMA ANAKNYA YANG MASIH KECIL. Dia serba salah sekarang...

Wahai pegawai Jabatan Agama Islam yang tertentu, jalankan tugasmu sebaik mungkin kerana akibat kecuaian dan kesilapanmu maka inilah masalah yang timbul. Bagi anda ianya mungkin hal kecil tetapi bagi muallaf yang masih lemah Iman dan merahsiakan pengIslaman mereka adalah perkara yang besar., Kini pembelajaran Islamnya terbantut dan hidup dalam tekanan dan ketakutan....

Ramadhan akan menjelang tiba dalam beberapa hari lagi, namun dia dan anaknya telah dihalau keluar dari rumah ibubapanya. Bolehkah saya mencadangkan agar kita membuat sedikit kutipan kilat bagi meringakan bebanannya membayar sewa dan cagaran rumah serta menyara anaknya?

Sesiapa yang ingin membantu, sila bank in ke akaun Bro Lim seperti berikut;

CIMB Bank
Lim Jooi Soon
0402 9061 4705 29

Derma walaupun RM1.00 dan selepas bank in, sila email ke malaysia.reverted.muslim@gmail.com dan nyatakan berapa jumlah yang didermakan kepadanya. InshaAllah kami akan serahkan wang ini kepadanya dalam minggu ini. Semoga Allah membalas jasa baik kalian semua...
 --------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Alhamdulilah, setelah pihak Malaysia Reverted Muslim & saya secara peribadi menulis di laman Facebook saya (seperti di atas), ramai yang menghulurkan bantuan.

Jumlah derma dari orang ramai adalah sebanyak RM 7,007...!!!

Saya secara peribadi telah menghubungi Muslimah tersebut dan setelah dihalau keluar dari rumah, kini ibubapanya telah menyuruhnya untuk pulang semula ke rumah. Saban hari ibubapanya meminta beliau untuk keluar dari Islam namun beliau menjawab, 

'Saya masuk Islam bukan sebab duit dan bukan sebab nak kahwin tapi saya memeluk Islam dengan rela dan nampak keindahan Islam. Saya tak nak melalui hidup seperti dulu yang tiada bimbingan.' 

Saya telah memaklumkan kepada beliau bahawa kami telah mengadakan satu kutipan kilat bagi membantu dirinya untuk membayar sewa dan keperluan hariannya kerana beliau adalah janda dengan dua anaknya masih bersekolah.. Seorang anaknya pelajar sekolah menengah manakala seorang lagi masih di sekolah rendah. Namun, beliau tidak memerlukan kesemua sumbangan dari anda semua dan mendermakan semula separuh dari kutipan untuk membantu saudara lain yang mungkin lebih memerlukan.
SubhanAllah... Dalam situasinya yang tertekan beliau masih memikirkan tentang saudaranya yang lain.. Semoga Allah membalas anda yang telah menderma dengan ikhlas bagi membantunya. InshaAllah baki wang tersebut kami akan gunakan untuk membeli barangan keperluan seperti beras dan makanan dalam tin untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan sepanjang bulan Ramadhan ini... Ini adalah screencap transaksi;



InshaAllah saya akan maklumkan kepada anda semua perkembangan projek agihan barangan keperluan sepanjang bulan Ramadhan ini. Bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi sebagai melaksanakan tanggungjawab agar semua yang menderma tidak tertanya-tanya di manakah wang mereka dbelanjakan...

"Seorang muslim adalah saudara bagi muslim.Dia tidak boleh menganiaya saudaranya dan tidak boleh pula membiarkan saudaranya teraniaya oleh orang lain. Dan barangsiapa yang membantu (mencukupkan) keperluan atau hajat saudaranya, maka Allah Ta 'ala membantunya pula (mencukupkan) keperluan atau hajatnya. Dan barangsiapa yang melapangkan kesulitan seorang muslim, maka Allah Ta 'ala melapangkan kesulitannya kelak di Hari Kiamat. Dan barangsiapa yang menutup aib seorang muslim, maka Allah menutupi pula aibnya kelak di Hari Kiamat.
[Al-Bukhari no (2442) dan Muslim (2580)]

Friday, July 20, 2012

Lafaz Niat..??? Susahnya Nak Solat...



Dahulunya ketika saya mula-mula memeluk Islam, saya diajar untuk melafazkan niat dengan permulaannya ‘Usolli’ atau dalam Bahasa Melayu ‘Sahaja Aku Tunaikan Solat Subuh Dua Rakaat Tunai Kerana Allah Taala’…

Saya pun apa lagi. Bukan main susah nak hafal sampai kadang-kadang give up nak solat sebab terlupa susunan lafaz niat. Apa tidaknya. Bayangkan kalau saya solat seorang kena hafal 5 lafaz berbeza dan almaklumlah masih baru, kadang-kadang terlupa Zohor dulu ke atau Asar dulu dan berapa rakaat. 

Itu baru solat keseorangan dan bagaimana dengan solat berjemaah??? 5 lagi lafaz niat berlainan..!!! Waduh-waduh.. pening kepada saya…  Sudahlah kena hafal al-Fatihah dan bacaan dalam solat, ini lagi lafaz niat yang pelbagai dan lafaz niat mandi wajib & berwuduk. Meh, disenaraikan lafaz niat yang ‘wajib’ saya hafal dulu dan tengok korang pening tak kalau baru memeluk Islam dah kena hafal macam-macam dan bukan diajar mengenal Allah dulu;

Lafaz Niat Wuduk
Lafaz Niat Mandi Wajib
Solat Subuh (Keseorangan)
Solat Zohor (Keseorangan)
Solat Asar (Keseorangan)
Solat Maghrib (Keseorangan)
Solat Isyak (Keseorangan)
Solat Subuh (Berjemaah)
Solat Zohor (Berjemaah)
Solat Asar (Berjemaah)
Solat Maghrib (Berjemaah)
Solat Isyak (Berjemaah)
Solat Musafir (Jamak Takdim)
Solat Musafir (Jamak Takhir)

Fuyooo…!!! 14 Jenis lafaz niat nak kena hafal masa baru memeluk Islam dulu.. Ustaz yang ajar saya masa kursus fardhu ain dulu bagitau saya - ‘Islam Itu Mudah’ tapi bila setakat lafaz sudah 14 saya berkata dengan diri saya ‘Ini baru lafaz niat wohh. Belum lagi lain-lain. Macam mana la…Belum masuk solat sunat lagi’. 


Kadang-kadang sampai berapa kali saya kena takbir baru dapat lafaz niat yang betul tapi nasib baiklah kalau solat berjemaah orang di sebelah saya tu pun kena takbir beberapa kali so saya rasa lega sebab bukan saya seorang je... hehe...

Kalau setakat  yang wajib sudah 14 lafaz, sorry la nak solat sunat… berapa lagi mau ingat kalau solat sunat…??? So time tu memang takdelah saya nak buat solat sunat ke apa sedangkan yang wajib sudah terkapai-kapai nak hafal lafaz niatnya… Tetapi, Alhamdulilah selepas saya mula betul-betul belajar dan kaji mendalam lagi, ini antara penemuan saya melalui pembacaan dan pembelajaran saya yang singkat;

“Tiap-tiap amal perbuatan tidak lain adalah berdasarkan niat
dan balasan bagi setiap amal manusia sesuai dengan apa yang diniatkan….”
[Sahih al-Bukhari]

Dari Aishah dia berkata

“Sesungguhnya Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam membuka solatnya dengan Takbir.”
[Sahih Muslim]


Apa kata Imam Syafie r.h yang Ustaz saya dulu bagitau, Malaysia bermazhab Syafie dan ikut pendapatnya..

“Siapa yang pandai membaca takbir, niscaya tidaklah dia memulakan solatnya melainkan dengan takbir itu sendiri dan takbirnya ialah Allahu Akbar.”
[al-Umm (Kitab Induk) (edisi terjemahan oleh Prof. TK. H. Ismail Yakub, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1989), jld.1, ms. 241]


Apa pula kata tokoh mazhab Syafie? Imam Nawawi r.h berkata;

"Pendapat yang mengatakan sunat melafazkan niat adalah kesilapan. Sebenarnya, maksud kata-kata Imam Syafie 'menyebut' ialah lafaz takbiratulihram."
(Rujuk al-Majmu', al-Nawawi, jil. 3, ms. 243 dan Ta'aalim, al-Syeikh Bakr Abu Zaid, ms. 100)

Seorang lagi tokoh Mazhab Syafie iaitu Imam al-Sayuti r.h berkata;

“Daripada bid’ah (yang saiyyah) itu: “Was-was dalam niat solat. Itu bukan daripada perbuatan nabi s.a.w. dan para sahabah baginda. Mereka tidak pernah melafazkan sedikit pun niat solat melainkan hanya (terus) takbir. Allah telah berfirman:
(maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik)”
[Al-Sayuti, Al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-Nahy ‘an al-Ibtida’, m.s. 25, Beirut; Dar al-Fikr al-Lubnani]


Pernah Abu Daud bertanya kepada Imam Ahmad r.h.:

"Adakah terdapat lafaz tertentu sebelum takbir?” Dia menjawab: “TIDAK."  
[Masaail al-Imam Ahmad, ms. 31 dan Majmu' al-Fatawa, jil. 22, ms. 28]
 

Manakala dalam Kitab Fikih Sunnah Sayid Sabiq, saya terjumpa yang ini;

"Ungkapan-ungkapan (lafaz niat - pen) yang dibuat-buat (direka – pen) dan diucapkan pada permulaan bersuci (wuduk) dan solat ini, telah dijadikan oleh syaitan sebagai arena pertarungan bagi orang-orang yang diliputi was-was, yang menahan dan menyiksa mereka dalam lingkaran tersebut, dan menuntut mereka untuk menyempurnakannya. Maka anda lihat masing-masing mereka mengulang-ulanginya dan bersusah-payah untuk melafazkan padahal sedemikian itu sama sekali tidak termasuk dalam ibadah solat"
[Fikih Sunnah, Sayid Sabiq, jilid 1 ms 286]


Fuhhh… Lepas saya dah terjumpa dan terbaca semua ini, lega hati… Solat dan ibadah sudah menjadi mudah bagi saya dan rakan yang lain. Pernah ahli NGO saya didatangi seorang muallaf wanita lalu dia berkata;


Muallaf Wanita : “Saya dah lama tak solat”
Rakan               : “Kenapa tak solat? Awakkan suka pada Islam sebab itu awak memeluk 
                             Islam”
Muallaf Wanita : “Saya tak boleh ingat lafaz niat. Banyak sangat dan saya keliru”

Selepas itu, rakan saya menerangkan kepadanya perihal tentang lafaz niat dan muallaf wanita itu berkata;

“Inilah keindahan Islam yang menjadikan saya tertarik untuk memeluk Islam. Mudah dan tidak membebankan”

Mungkin pembacaan saya yang terhad dan jahil ini hanya mampu menampilkan beberapa dalil di atas. Jikalau anda ada sebarang informasi yang menarik, silalah berkongsi dengan saya. Saya suka belajar dengan berkongsi ilmu dan bertukar-tukar pendapat…

Apa-apapun, Selamat Berpuasa dan menyambut kedatangan Ramadhan al-Mubarak… Tak payah lafaz niat kot….


Thursday, July 19, 2012

Dah Azan Maghrib Tapi Nak Makan Dulu Ke Atau Solat Dulu...???



Kadang-kala menjadi dilema bagi mereka yang baru pertama kali berpuasa terutamanya ketika waktu berbuka puasa. Jikalau makan di luar, maka apakah yang saya harus dahulukan apabila azan sudah berkumandang? Tinggalkan makanan kita dan solat dulu atau makan dulu baru solat?

Kalau tinggal makanan dan pergi solat dulu, perut pula berkeroncong dan solat dan khusyuk? Kalau teruskan makan, orang kata saya tak solat pula.. Aduh... Macam mana ni.... Senang aje.. Mari kita lihat apa kata Nabi Muhammad s.a.w dan cara baginda berbuka....

“Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah makan sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah semasa makan malam kamu.”
(Sahih al-Bukhari & Muslim)


“Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai.”
(Sahih al-Bukhari & Muslim)


Riwayat di atas juga menambah bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, walaupun beliau mendengar bacaan imam. Kata al-Imam an-Nawawi (meninggal 676H) dalam Sharh Sahih Muslim mengulas hadis-hadis berkaitan:

“Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk”.
(An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut)


Dalam Faidh al-Qadir l-Imam al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut bahawa arahan ini merangkumi semua solat dengan katanya:

“Hadis tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.”
(al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir)


Kata at-Tibi (meninggal 743H):

“Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bidaah yang berpendapat wajib melewatkannya.”
(at-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut)



BAGAIMANA CARA NABI MUHAMMAD S.A.W BERBUKA PUASA...???


"Manusia akan tetap berada dalam kebaikan selama mereka masih menyegerakan berbuka & mengakhirkan (melewatkan) sahur."
[Sahih al-Bukhari (1957)]


“Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.”
(Riwayat Imam Ahamd dan Tirmizi, katanya hadis ini hasan)


Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H):

“Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada, maka dengan tamar, dan sekiranya tiada, maka dengan air. Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah, namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air.”
(al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut)


Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H):

“Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”
(Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, 2/385, cetakan: dar al-Fikr, Beirut)


Berbukalah dengan kadar yang sederhana dan bukan berpesta makanan ya sebagaimana firman Allah SWT;

"...dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas."
(Al-A'raaf 7:31)



Kalau nak solat dulu, salah ke...??? Saya takdelah cakap salah.. Boleh aje... Cuma sebab dahulukan makan tu pun sebab kita boleh khusyuk ketika solat... Takpe-takpe, siapa nak makan dulu, silakan makan dan siapa nak solat dulu pun silakan... Secara peribadi, saya berbuka dengan beberapa biji buah kurma dan air selepas itu saya solat Maghrib dahulu. Sekurang-kurangnya perut dah terisi boleh juga solat dengan khusyuk dan bila dah solat Maghrib, hati pun tenang dan boleh sambung makan dengan senang dan khusyuk....

 "Ahhhhh....Erkkkkkk...Alhamdulilah..."


Wednesday, July 18, 2012

Roh Kembali Ke Rumah Pada Bulan Ramadhan..???




Ketika mengendalikan kelas semalam, salah seorang pelajar berkata bahawa ketika dia menghadiri kelas dulu-dulu, Ustaznya pernah berkata bahawa roh akan pulang ke rumah pada bulan Ramadhan. Untuk menjadikan dakwaan itu lebih menarik, katanya kawannya yang kematian bayinya memberitahu bahawa roh bayinya itu kembali ke rumah untuk menjenguknya.

Sambil menangis, wanita ini bertanya, mungkinkah dia dapat bertemu dengan arwah suaminya yang baru sahaja meninggal? Saya terkedu... Lalu saya menjawab;

Apabila seseorang itu telah mati, maka rohnya akan ditempatkan di Alam Barzakh dan TIDAK AKAN DAPAT KEMBALI KE DUNIA DALAM APA JUA KEADAAN PUN. Dalilnya adalah firman Allah ini;

"Hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka ( orang kafir) dia berkata : " Ya Tuhanku kembalikanlah aku ke dunia, agar aku berbuat amal yang soleh terhadap apa yang telah aku tinggalkan. Sekali-kali tidak (jawapan Allah), sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja (janji kosong) . Dan di hadapan mereka ada DINDING (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan"  
[Al-Mu'minuun 23:99-100]

Dan adapun orang yang berkata mereka mendengar tangisan dan melihat makhluk seperti si mati, menurut pandangan Ulamak ianya adalah angkara Jin & Syaitan yang menyerupai si mati dan gangguan mereka sahaja. Imam Mujahid (Tabien dan anak murid Ibn Abbas r.a) dan Ibn Zaid berkata tentang ayat ini :

"Barzakh adalah seperti satu tembok yang menghalang orang yang mati kembali ke dunia."

Pandangan ulamak lain seperti Dr. Sheikh Yusuf al-Qaradhawi; bahawa roh tidak akan mencampuri urusan yang tidak lagi berguna baginya [Fataawa Muasya'rah, 1/70].  Dalil lain bagi mengukuhkan pandangan ini adalah firman Allah;

"Allah SWT memegang jiwa (ruh) ketika matinya (seseorang) dan memegang jiwa(ruh) orang yang belum mati di waktu tidurnya, maka Dia tahanlah jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan.."  
(Az-Zumar 39:42 )

Dari ayat di atas, maka kita ketahui bahawa roh orang yang telah meninggal itu tidak sesekali dapat pulang ke dunia ini namun adalah ulama yang berpendapat bahawa roh manusia yang masih hidup dapat berjumpa dengan roh yang sudah mati ketika tidur iaitu mimpi [Ar-Ruh, Ibn Qayyim ms 20]. Walaubagaimanapun tiada yang berpendapat bahawa roh tersebut dapat berjumpa dengan manusia ketika dalam keadaan sedar. Wallahualam...


Kemungkinan kisah seperti ini adalah berpunca daripada dakwaan Kristian bahawa mereka boleh berjumpa dengan roh si mati melalui teknik jampian khas TETAPI ianya adalah penipuan yang menggunakan Jin & Syaitan dan ianya bukan roh yang sebenar [Prof Ahmed Azzedine al-Bayauny & Prof Mohamed Hussin di dalam Kitab Al-Iman Bil Malaika serta Al-Ruhiya al-Haditha] 


Adakah juga kemungkinan cerita begini di ambil dari kepercayaan masyarakat Cina yang percaya bahawa Roh si mati akan kembali mengjenguk keluarganya pada hari ke-tujuh selepas kematiannya dan juga melalui menurun (Spirit Mediums) di mana mereka dapat berkomunikasi dengan roh si mati lalu memenuhi hajat dan permintaannya seperti keperluan di alam neraka dan sebagainya.. Wallahualam...

Cerita lanjut, boleh layari laman Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman dan juga artikel dari Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang bertajuk Beberapa Persoalan Tentang Ruh . Semoga perkongsian ini bermanfaat dan sesungguhnya Allah SWT lebih mengetahui segala-galanya baik yang ghaib mahupun yang zahir... Wallahualam Bissawab.... 

p/s Dari kita asyik dengan Roh dan cerita ghaib sebegini, adalah lagi roh yang memerlukan pembelaan dan perhatian kita... Doa dan bantuan kita untuk membantu saudara kita di Myanmar - ROHingyas yang sedang ditindas dan dibunuh... Doakanlah untuk mereka dan semoga Allah menguatkan semangat mereka dan meneguhkan keimanan mereka... Amin...

"Tolong doakan untuk saudara kita di seluruh dunia"

Monday, July 16, 2012

Antara ubat dan fatwa. Doktor & pesakit. Nabi & sahabat.. Apa persamaannya?



 
Bayangkan situasi ini ; seorang wanita mengandung, seorang lagi adalah lelaki dewasa berbadan gempal dan yang terakhir adalah seorang kanak-kanak 4 tahun. Kesemuanya demam. Anda sebagai seorang Doktor. Adakah anada akan memberi ubat yang sama atau ubat yang berlainan mengikut kesesuaian pesakit?



Mungkin kita telah ada jawapannya dan mungkin ragu-ragu oleh itu mari kita lihat bagaimana Nabi Muhammad s.a.w dalam situasi sebegini. Diriwayatkan dari al-Bara Bin Azib, dia berkata;

Nabi s.a.w pernah menyampaikan khutbah kepada kami pada Hari Raya Iedul Adha. Setelah Solat Ied, baginda bersabda;

'Barangsiapa melakukan solat seperti cara solat kami dan berkorban seperti cara berkorban kami, bererti korbannya sah. Namun, barangsiapa berkorban sebelum solat, maka (korban) itu tidak sah, dan tidak ada korban baginya'

Abu Burdah Bin Niyar, pakcik al-Bara bertanya;

'Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku menyembelih kambingku sebelum solat. Aku mengetahui bahawa hari ini adalah hari makan dan minum, dan aku senang jika kambingku adalah binatang yang pertama kali disembelih di rumahku. Kerana itu, aku menyembelih kambingku dan memakannya sebelum aku mendatangi tempat solat'

Nabi Muhammad s.a.w menjawab;

'Kambingmu hanyalah kambing daging'

Abu burdah kembali bertanya;

'Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami memiliki seekor kambing betina yang belum genap setahun yang lebih aku cintai daripada dua ekor kambing dewasa, apakah ia sah untuk aku korbankan?'

Baginda menjawab;


'Ya, namun ia tidak sah bagi siapapun setelahmu'
[Sahih Bukhari, Kitab al'Iedain', Bab 'al-Akl Yauman Nahr', No Hadis 955 (II/447-448)]

Sebagaimana yang kita ketahui bahawa anak kambing yang usianya belum setahun adalah tidak sah untuk dikorbankan tetapi Nabi Muhammad s.a.w mengubah fatwanya terhadap Abu Burdah berdasarkan pertimbangan situasi dan keadaannya ketika itu.

Al Hafiz Ibn Hajar al Asqalani menjelaskan; 'Apabila seorang mufti dapat membaca tanda-tanda kejujuran/ketulusan niat dari orang yang meminta fatwa, maka dia boleh memberikan fatwa yang MEMUDAHKAN orang tersebut. Ertinya, seandainya ada dua orang yang meminta fatwa darinya mengenai satu permasalahan serupa, maka dia boleh memberikan fatwa yang berbeza sesuai dengan situasi dan keadaan masing-masing
[Fathul Bari (II/448)]

Dapat kita lihat bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah menunjukkan kepada umatnya cara untuk memberi nasihat dan fatwa bagi menyelesaikan masalah setiap individu sebagaimana sabda baginda;

'Sesungguhnya Allah tidak mengutuskan untuk mempersulit atau memberat, melainkan sebagai seorang pengajar yang memudahkan'
[Sahih Muslim]

Oleh itu wahai sahabat yang dirahmati Allah sekalian, ingatlah sabda Nabi Muhammad s.a.w ini;

'Permudahkan dan jangan menyusahkan. Gembirakanlah dan jangan menakutkan'
[Sahih Bukhari]

p/s Jadi, sudahkah anda sebagai 'Doktor' tahu bagaimana untuk memberikan ubat kepada tiga 'pesakit' tadi? Kita semua adalah 'Doktor' oleh itu jadilah seorang 'Doktor' yang menyampaikan khabar gembira dan bukannya menakut atau menyusahkan 'pesakit'... Berikan 'dos ubat' yang bersesuaian ya... {[:-)=

Jangan jadi DOKTOR macam ini sudah....

"Doktor, ni nak cabut gigi ke nak cabut kepala?"

Tukang Tilik Facebook...




Saya perasan sekarang banyak apps di Facebook yang berupa "RAMALAN"... Walaupun saya mengetahui mereka yang terlibat akan berkata, 
'Ala, suka-suka aje. Bukan serius pun' 
 
Tetapi saya tetapi bersangka baik bahawa mereka tidak tahu (bukan bermakna saya lebih tahu)..  Antara apps yang saya perasan adalah;
- "Bila anda akan bertunang"
- "Rahsia Tarikh Lahir Anda"
- "Anda akan berkahwin pada...."

- "Rahsia Horoscope Anda..."


- "Pekerjaan apa paling sesuai untuk ....."


Serta banyak lagi apps. Apa sabda Nabi Muhammad s.a.w tentang "RAMALAN" sebegitu rupa?

"Barangsiapa mendatangi seorang dukun dan mempercayai apa yang dikatakannya, maka sesungguhnya dia telah ingkar dengan wahyu yang diturunkan kepada Muhammad"
[Abu Daud]


"Barangsiapa mendatangi tukang tilik, lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu (ramalan), nescaya tidak diterima baginya solat selama 40 malam"
[Sahih Muslim]


Kesimpulan hukum bertenung nasib atau mendatangi tukang tilik ialah:
1. Jika mempercayai tilikannya, kufur.
2. Jika tidak percaya, solat tidak diterima 40 malam.
[Ustaz Rasyid Idris]

Wahai saudara-saudari seIslamku, jauhilah perkara-perkara sedemikian... Boleh jadi kita melakukannya tanpa kita sedari implikasi dan saya tidaklah layak untuk menasihati tetapi yang saya mampu lakukan adalah berkongsi dengan anda semua. Terpulang kepada anda sendiri... Dari kita terpesona dengan ramalan, apa kata kita berusaha dan bertawakal?
Semoga Allah mengampuni kita di atas kejahilan diri saya dan kita semua.... Wallahualam...

Saya muallaf, kena puasa penuh juga ke…???





Salah satu dilemma yang kerap dihadapi oleh mereka yang baru kembali kepada Islam dan juga mereka yang berhadapan dengan muallaf ialah – puasa di bulan Ramadhan. Puasa pada bulan Ramadhan merupakan Rukun Islam ke-3 yang diwajibkan ke atas semua Muslim namun, bagaimana pula dengan mereka yang baru kembali kepada Islam dan masih belum kuat Imannya?

Muallaf di dalam dilema kerana mereka dihujani dengan pelbagai hukum-hakam yang menakutkan seperti;

“You mesti puasa tahu. You sudah Muslim sekarang. Kalau tak puasa nanti Jabatan Agama islam tangkap you.”

“Puasa itu adalah satu kewajipan dan kita yang sudah dewasa ini takde alasan untuk tidak berpuasa penuh. Anak saya yang berumur 10 tahun pun boleh takkan you tak boleh?”

 "Saya pun boleh puasa penuh tau. Tanya papa saya, Ikhwan Ng"

Mungkin ada banyak lagi kata-kata yang menakutkan para muallaf dan bukannya memberi dorongan.

Anda mungkin bertanya,  

‘Habis tu, macam mana? Kena puasa penuh juga ke? Kalau saya tak makan 4 jam ah, tangan sudah mengeletar apatah lagi lebih dari 12 jam. Mati ohhhh”

Jawapan saya kepada muallaf dan juga para pembimbing muallaf, ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud;

“Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.”
[An-Nisa’a 4:28]

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.”
[Al-Baqarah 2:286]

Serta sabda Rasulullah s.a.w;

Apa yang telah kularang kamu mengerjakannya hentikanlah . Dan apa yang  ku perintahkan kamu mengerjakannya, lakukanlah SEHABIS DAYAMU.  Sesungguhnya umat yang sebelum kamu binasa kerana mereka banyak tanya dan banyak debat terhadap nabi nabi mereka.
[Sahih Muslim
]


"Sesungguhnya agama itu mudah, dan tidaklah seseorang itu mempersulitkan agama melainkan dia sendiri dikalahkan ....... "  
[Sahih Bukhari]
 
Oleh itu, ingatlah para dai’e sabda Nabi Muhammad s.a.w ini;

“Sesungguhnya Allah Swt. tidak mengutusku untuk mempersulit atau memperberat, melainkan sebagai seorang pengajar yang memudahkan.” 
[Hadith riwayat Muslim]
 
“Permudahkanlah dan Jangan Menyusahkan, Gembirakanlah dan Jangan Menakutkan.”
[Sahih Bukhari]

 

Wahai muallaf, berpuasalah sedaya yang mungkin dan buat apa yang termampu. Ada yang mengambil masa sehingga sepuluh tahun untuk dapat berpuasa penuh jadi yang paling penting, enjoy your 1st ever Ramadhan as Muslim and do your best… Allah Maha Mengetahui dan Maha Pengampun….

Tapi, janganlah setelah sepuluh tahun masih muallaf kot.... Dah kena panggil mukallaf dah kalau dah faham serta amalkan fardhu ain...

p/s Puasa, puasa juga tetapi apa hikmah berpuasa??? Hmmm... InshaAllah, akan datang... 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...